SUSU IBU DAN SUSU BOTOL
Tiada siapa dapat menyangkal bahawa susu ibu adalah susu terbaik
untuk bayi. WHO (World Health Organisation) atau Pertubuhan
Kesihatan Sedunia sendiri menggalakkan penyusuan ibu.
Bagaimanapun tidak semua ibu memilih
untuk melakukannya atas sebab-sebab tertentu. Pada masa ini,
banyak pilihan susu dari lembu yang diproses dan dapat memberikan
alternatif terbaik dari segi penyerapan dan kandungan zat-zat yang
diperlukan.
Di bawah ini adalah beberapa isu
yang perlu diteliti untuk membantu anda memilih yang mana satu
sesuai untuk anda.
Penyusuan sendiri
-
Meningkatkan perhubungan bayi dan
ibu dengan sentuhan kulit-kulit yang kerap
-
Menentang jangkitan. Antibodi yang
didapati dari susu ibu membantu bayi menentang beberapa penyakit
seperti jangkitan kuman di bahagian telinga, alahan, batuk, batuk
disebabkan pneumonia dan pelbagai masalah pernafasan yang lain.
Secara keseluruhannya, bayi yang disusukan sendiri oleh ibunya
mengalami jangkitan yang lebih rendah berbanding bayi yang disusu
dengan susu formula.
-
Pencernaan yang baik. Enzim dan
bahan-bahan lain di dalam susu ibu memudahkan proses pencernaan
dan membantu di dalam penyerapan zat-zat makanan. Susu formula
kini semakin canggih dan dapat meniru susu ibu tetapi ada beberapa
bahan di dalam susu ibu yang terlalu kompleks dan tidak dapat
dibuat di makmal dan ada juga yang belum dapat dikenalpasti.
-
Murah. Ia tidak melibatkan kos
tetapi ibu yang menyusukan bayi perlu mengambil 500 kalori lebih
daripada ibu biasa setiap hari.
-
Menghalang kegemukan. Kajian terbaru
mendapati penyusuan ibu dapat menghalang bayi dan budak menjadi
gemuk (childhood obesity).
-
Tidak mengandungi kuman. Ini berbeza
dengan botol yang mungkin mengandungi kuman jika tidak disteril
dengan baik.
-
Suhu susu adalah pada paras yang
ideal.
-
Bagaimanapun, untuk kes-kes tertentu
seperti ibu yang mengalami penyakit AIDS atau hepatitis, atau
menjalani kemoterapi, dsb tidak dinasihatkan untuk menyusukan
bayi. Ini kerana ada ubat-ubatan yang digunakan akan dikeluarkan
dalam susu dan memberikan kesan buruk kepada bayi tersebut. (Sila
rujuk dengan doktor anda)
-
Ibu perlu mengurangkan pengambilan
minuman berkaffein seperti kopi, nescafe, dsb. Ibu disyirkan
mengambil minuman berkaffein dalam kuantiti kurang daripada 300mg
setiap hari (bersamaan dengan tiga cawan kopi)
-
Perlu selalu memberi minum.
Selalunya bayi yang menyusu badan perlu minum dengan lebih kerap.
-
Sukar melakukan aktiviti lain
seperti bekerja, dsb. Bayi juga perlu sentiasa bersama dengan
ibunya dan tidak boleh berenggang, contohnya ditinggalkan di rumah
saudara.
Penyusuan formula
-
Mudah. Ia boleh dilakukan oleh semua
orang - ibu, bapa atau pembantu.
-
Lebih fleksibel di mana ibu boleh
melakukan kerja-kerja lain
-
Kurang antibodi. TIDAK ADA SATUPUN
ANTIBODI YANG DIDAPATI DI DALAM SUSU IBU ADA DI DALAM SUSU
FORMULA. Oleh itu daya tahan sakit bayi yang disusu formula ini
tidak kuat berbanding dengan bayi yang disusu badan.
-
Mahal. Di samping harga susu, ibu
juga perlu membeli barangan lain seperti botol, pengepam susu
(breast pump) dsb.
-
Mungkin ada bakteria jika tidak
dibasuh dan di steril dengan baik
-
Lambat. Ia perlu disiapkan dahulu
atau di suamkan (sekiranya telah diperah dan diletak di dalam peti
ais) sebelum diberi kepada bayi.
-
Mungkin menyebabkan masalah angin
dan sembelit.

Komen Pembaca:
Terima kasih di atas artikel yang bertajuk
'Susu Ibu dan Susu Botol'. Informasi yang ditulis dapat memberikan
ibu membuat pilihan dengan minda yg terbuka, samada untuk memilih
susu ibu atau susu formula. Tetapi, saya kurang setuju dengan
beberapa kenyataan di dalam artikel ini:
1. Sukar melakukan
aktiviti lain seperti bekerja; seperti yang kita tahu, kini
terdapat pelbagai jenis 'breast pump' di pasaran yang boleh
digunakan untuk memerah susu ibu di tempat kerja. Susu ini boleh
disimpan di dalam peti sejuk dan diberikan kepada bayi pada
keesokan harinya. Jadi tidak timbul masalah sukar bekerja
bagi ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu.
2. Penyusuan formula: 'kurang antibodi'. Sepatutnya ditulis 'tiada
antibodi', kerana kenyataan ini lebih tepat.
3. Penyusuan formula: 'Mahal. Di samping harga susu, ibu juga
perlu membeli barangan lain seperti botol, pengepam susu (breast
pump) dsb'.
Bagi susu formula, breast pump tidak diperlukan.
Sekian, diharap mendapat maklumbalas yang positif dari pihak tuan.
Terima kasih.
Yang benar,
Dr. Nazatul Shiha Bachtiar,
Pensyarah,
Jabatan Fisiologi,
Fakulti Perubatan,
Universiti Malaya.