081 - Takwiir
Dengan nama Allah, Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
|
[81.1] Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap); [81.2] Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak; [81.3] Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu); [81.4] Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar; [81.5] Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan; [81.6] Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur; [81.7] Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya; [81.8] Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, - [81.9] Dengan dosa apakah ia dibunuh? [81.10] Dan apabila surat-surat amal dibentangkan; [81.11] Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya; [81.12] Dan apabila neraka dinyalakan menjulang; [81.13] Dan apabila Syurga didekatkan; [81.14] (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya. [81.15] Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul; [81.16] Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya; [81.17] Dan malam, apabila ia hampir habis, [81.18] Dan siang, apabila ia mulai terang; [81.19] Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia, [81.20] Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, [81.21] Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai. [81.22] Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh); [81.23] Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. [81.24] Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib. [81.25] Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam. [81.26] (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? [81.27] Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam: [81.28] Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. [81.29] Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. |