
PERUBATAN
BIOKIMIA
Dr. Burhanuddin al-Helmy
(1911 - 1969)
Pengenalan
Biochemistry
terdiri daripada dua perkataan, iaitu 'bio', daripada
perkataan Yunani yang bererti “hidup” atau “hayat”, dan 'Chemistry'
daripada perkataan Arab, yakni 'Kimia’ yang bererti “ilmu
sains berkenaan kandungan dan susunan sesuatu benda dan
perubahannya dari satu peringkat ke satu peringkat.
Dengan itu,
boleh dirumuskan makna biochemistry sebagai satu ilmu
sains berkenaan campuran susunan tubuh-tubuh binatang dan
tumbuhan-tumbuhan dan proses perubahan beberapa jenis air atau
cecair dan tisu-tisu dalam tubuh dan urat saraf dalam
membentuk dan membina dirinya.
Di dalam esei ini, yang dimaksud dengan
Biochemistry ialah nama yang diberi kepada satu sistem
perubatan yang diasaskan oleh Dr. Wilhelm Heinrich Schuessler
(1821-1898 Oldenburg, Germany) dalam tahun 1873. Beliau
mendasarkan kaedah perubatan ini kepada pengubatan sel-sel,
dan dengan itu popular dengan nama “Cellular Therapy”.
Dr. Schuessler bukan sahaja seorang doktor perubatan tetapi
juga seorang ahli kimia (physiological Chemist) dan
seorang ahli fizik (physicist). Dengan kepintarannya
bukan sahaja beliau dapat memahami dengan mendalam
penemuan-penemuan di dalam bidang kerja tubuh badan oleh ahli
sains sezamannya tetapi beliau juga telah berjaya
menggabungkan penemuan-penemuan itu hingga menjadi satu sistem
perubatan yang selari dengan tabii, bersifat makul dan mudah.
Biochemistry (yang mana selepas ini
akan disebut sebagai perubatan biokimia) sangat jauh berbeza
dari kaedah perubatan biasa kerana ia tidak menggunakan
ubat-ubat mentah (drug) ataupun ubat-ubat penekan (suppressant).
Sebaliknya ia menggunakan dua belas unsur galian yang seni (inorganik
mineral substance) sebagai agen penyembuhan-nya. Garam
galian ini dikenali juga sebagai garam-tisu (tissue salts)
ataupun garam-hidup yang mana penemuan semasa (current
finding) mendapati ianya amat penting kepada kehidupan,
tubuh badan dan kesihatan manusia.
Dasar atau Kaedah
Batu asas
biochemistry atau perubatan biokimia telah ditanam lebih
daripada satu abad yang lalu, apabila salah seorang daripada
ahli sains di waktu itu menemui bahawa tubuh manusia itu
terdiri daripada bermilion-milion sel seni yang hidup.
Tiap-tiap satu sel itu terdiri daripada tiga benda yang sangat
seni dan tergabung dengan sempurna dan seimbang. Benda itu
ialah air, benda-benda organik dan benda-benda inorganik.
Air dan
benda organik seperti gula, albumin dan lemak menjadi
sebahagian besar daripada badan. Tetapi benda inorganik,
walaupun berada
sangat sedikit di
dalam badan, adalah
sangat penting dan menjadi pekerja yang aktif menggunakan
benda-benda organik dalam membina bermilion-milion sel dalam
tubuh badan itu. Umur sel-sel ini adalah sangat pendek.
Berjuta-juta daripada sel-sel itu sentiasa mati, namun
sebanyak itu pula sel-sel baru menggantikannya.
Adapun benda
perlu di dalam proses pembinaan ini datangnya daripada darah
kita. Oleh itu jika darah kita kurang atau kurang mengandungi
bahan-bahan inorganik yang aktif dan memberi hidup ini, maka
proses pembinaan semula sel-sel tidak dapat berjalan dengan
normal dan teratur. Ini boleh mcngakibatkan gangguan dan
ketidakseimbangan di dalam badan. Dengan itu wujudlah satu
keadaan yang disebut sebagai ‘dis-ease’, yakni
‘tidak senang’. Kita menamakannya sebagai penyakit, dan ia
boleh zahir dalam berbagai bentuk dan pernyataan.
Kekurangan
atau 'deficiency' salah satu atau beberapa garam hidup
ini boleh berpunca daripada beberapa sebab. Antaranya ialah
kemalangan-kecederaan, peracunan-diri (self-poisoning)
dan pengaruh-pengaruh luar dan dalam yang sains masih lagi
tidak dapat menerangkannya. Tetapi yang nyata dapat kita lihat
ialah adanya penyakit atau gangguan dalam kerja badan, satu
gangguan yang menghalang kerja-kerja penyerapan (assimilation)
dan penghantaran bahan-bahan hidup.
Dari sini, nyatalah jika sel-sel tidak
mendapat makanan yang diperlukannya dan tidak dibersihkan
daripada bahan-bahan tinggal atau hampas beracun hasil
daripada kerja-kerja sel itu, maka satu keadaan tidak-sihat
tidak dapat dielakkan.
Kuasa Hayat Dan Dua Belas Garam tisu
Adalah
menjadi suatu kenyataan yang diakui umum bahawa ada satu daya
kuasa yang tabii di dalam diri kita yang menjadi penjaga
kesihatan kita yang sangat berkesan. Bagaimanapun, sehingga
kini sains masih belum dapat mengenali atau menerangkannya
dengan memuaskan.
Kuasa yang
dimaksudkan ini kadang-kadang dipanggil sebagai 'kuasa-hidup'
atau 'kuasa-hayat’. Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai ‘vital-force’.
Tetapi kuasa tabii ini sahaja tidak dapat menetapkan
keharmonian kerja tubuh badan kita jika darah kita tidak dapat
membekalkan bahan-bahan perlu untuk pembinaan sel-sel baru dan
sihat.
Mengikut kajian Dr. W.H. Schuessler, tubuh
badan manusia mengandungi 12 unsur yang pokok. Kekurangan
salah satu daripadanya akan menimbulkan beberapa semboyan
penyakit yang menunjukkan wujudnya kekurangan yang sedang
berlaku di dalam badan. Jika bahan yang kurang itu di bekalkan
semula dalam bentuk yang boleh diserap terus oleh sel-sel yang
memerlukannya, maka keseimbangan dan keharmonian akan kembali
semula dan semboyan-semboyan penyakit akan hilang. Dengan itu
barulah ujud semula kesihatan.
D
ua belas penawar yang dicipta oleh Dr.
Schuessler dipanggil 'penawar biochemic’ atau
'garam-tisu' (tissue-salts) atau 'garam-sel' (cell-salts).
Ia sama sekali tidak merbahaya dan bukanlah drug.
Penawar-penawar itu merupakan sebahagian daripada tubuh badan
yang diperlukan dan tujuan ahli biokimia memberinya adalah
semata-mata bagi mengisi kekurangan yang sedang berlaku.
Penawar Biokimia
Di dalam amalan perubatan biokimia, pada asalnya, Dr.
Schuessler menemui sekitar 12 garam tisu sahaja. Tetapi
kemudiannya, kedua belas garam tisu itu ditambah oleh orang
yang terkemudian. Kedua belas senarai penawar biochemic yang
diperkenalkan oleh Dr. Schuessler itu ialah:-
-
Calcarea Flourica
-
Calcarea Phosphorica
-
Calcarea Sulpburica
-
Ferrum Phosphoricum
-
Kali Muriaticum
-
Kali Phosphoricum
-
Kali Sulphuricum
-
Magnesia Phosphorica
-
Natrum Muriaticum
-
Natrum Phosphoricum
-
Natrum Sulphuricum
-
Silica.
Daripada senarai ini, jelas kepada kita bahawa ada tiga jenis
Calcarea, tiga jenis Kali, tiga jenis Natrum dan masing-masing
satu bagi Ferrum, Magnesia dan Silica. Atau boleh juga
dikatakan bahawa ia terdiri daripada lima Phosphate (Phos.),
tiga Sulphate (Sulp.), dua Chloride (Muriaticum) dan
masing-masing satu bagi Flouride dan Oxide (Sil.).
Garam hidup ini berada di dalam sel-sel darah terlalu sedikit
(very minute) iaitu dari ½ hingga 5 gram dalam tiap-tiap 1,000
gram sel darah, dan kekurangan salah satu daripada garam hidup
ini yang berlaku di dalam penyakit hanyalah satu molekular
sahaja. Justeru, dos (dose) atau sukatan garam hidup yang
perlu dibekal kembali bagi mengisi kekurangan itu mestilah
terlalu sedikit pula atau very infinitesimal.
Suatu contoh yang merupakan hasil analisa kepada darah di
bawah ini (oleh Bunge, seorang physiological chemist berbangsa
Jerman) akan menunjukkan betapa kecilnya tiap-tiap satu jenis
garam hidup yang berada di dalam 1,000 gram sel darah, iaitu:
Ferr. Phos - 0.998, Kali Sulp. - 0.132 gram, Kali Mur – 3.079
gram, Kali Phos – 2.343 gram, Natrum Phos - 0.633 Gram,
Calcarea Phos. - 0.094 gram, Magnesia Phos. - 0.060 gram,
Natrum Mur. – 5.545 gram, sementara Natrum Sulp., Calcarea
fluor dan Silica hanya bekas-bekas sahaja (traces).
Penawar-penawar biokimia ini di dalam bentuk aslinya yang
mentah (crude) adalah organik, iaitu masih kasar dan tidak
dapat diserap dan digunakan terus oleh sel-sel tisu yang seni.
Dalam bentuk mentah, atom garam-garam hidup itu berada dalam
keadaan yang sangat rapat sehingga tidak boleh bergerak atau
hanya bergerak dengan sangat perlahan sekali (inert).
Untuk memperseni atau membahagi setiap atom atau lebih tepat
lagi setiap ‘ion’ daripada garam hidup itu supaya ia menjadi
aktif atau menjadi betul-betul ‘garam-hidup’ dan boleh
digunakan terus untuk pembinaan sel-sel yang rosak atau
berpenyakit, maka garam hidup yang mentah itu hendaklah
dikisar beberapa jam di dalam mortar dengan berbagai sukatan
campuran gula tebu yang paling "bersih” (sugar of milk). Gula
tebu ini digunakan kerana ia mempunyai sifat yang inert dan
tidak merubah khasiat garam hidup itu. Oleh itu ia hanya
menjadi pendukung, perantara, pembawa, kenderaan atau
‘vehicle’ dan pemegang penawar - tanpa berlaku sebarang
sebatian.
Sel-sel Tisu Dan Penawar
Melalui
proses pemecahan atau mempertajam kuasa penawar ini, yang
disebut sebagai ‘trituration', maka garam hidup ini
amat mudah dan dengan segera boleh masuk ke dalam aliran darah
melalui hawas lidah dan ditarik atau diserap oleh sel-sel tisu
yang memerlukannya. Dari penyiasatan telah didapati bahawa
sel-sel tisu tertentu akan menarik atau memerlukan garam hidup
yang tertentu pula seperti:
-
Sel-sel otak dan saraf menarik
4 Phos. iaitu Ferr. Phos, Kali Phos., Mag. Phos, Nat. Phos.
-
Sel-sel otot atau urat pejal
(muscle) menarik 4 Phos yang sama dan Kali Mur.
-
Sel-sel tisu menganjal (elastic
tissue) menarik Calc. Fluor.
-
Sel-sel tisu penyambung
(connective tissue) menarik Silica.
-
Sel-sel tulang rawan
(cartilage) dan lendir (mucous) menarik Nat. Mur.
-
Sel-sel tulang menarik Calc.
Flour., Mag. Phos., Calc. phos., dan yang banyak - Silica.
-
Sel-sel kulit, kuku, rambut
menarik Ferr, Fhos., Kali Sulp., Silica.
-
Sel-sel kanta mata (crystaline
lens) menarik Ferr. Phos.
Atau garam hidup yang tertentu akan tertarik kepada (affinity)
sel-sel tisu yang tertentu seperti:
-
Calc. Flour. didapati dalam
tulang dan gigi.
-
Calc. Phos. didapati dalam
tulang, rawan dan gigi.
-
Calc. Sulp. didapati dalam
kulit, hempedu (bile) dan rambut.
-
Ferr. Phos. didapati dalam
darah, air gastrik dan kencing.
-
Kali Mur. didapati dalam darah,
otak, otot, air gastrik dan ludah.
-
Kali phos. didapati dalam
darah, otak, saraf dan otot.
-
Kali sulp. didapati dalam air
gastric, rawan dan kencing,
-
Mag. Phos. didapati dalam otak,
saraf, otot, tulang dan gigi.
-
Nat. Mur (garam) didapati dalam
tulang, rawan, darah, otot, otak, saraf dan dalam setiap
cecair & bukan cecair di dalam badan.
-
Nat. Phos. didapati dalam otak,
darah, otot dan saraf.
-
Nat Sulp. didapati dalam
hempedu, rawan dan peluh.
-
Silica didapati dalam kulit,
kuku, rambut dan tisu penyambung.
Perlu ditegaskan bahawa
pemberian penawar kepada pesakit tidaklah didasarkan
semata-mata kepada tempat sakitnya, tetapi hendaklah
didasarkan kepada keseluruhan semboyannya (totality of
symptoms). Kita tidak mengubat matanya, telinganya, perutnya
atau sebarang organ secara tersendiri-sendiri atau mengubati
nama-nama penyakit seperti selesema, batuk, demam dan
lain-lain secara terpisah tetapi kita mengubati si Ali, si Abu
dan si Ahmad berdasarkan kepada semua semboyannya yang boleh
diketahui.
Kesimpulan
Kepentingan garam tisu kepada manusia boleh diibaratkan
seperti pentingnya tanah bagi sepohon pokok. Sebagaimana kita
ketahui bahawa tanah yang tidak subur menghasilkan sepohon
pokok yang kering dan tidak segar, demikian jugalah darah yang
kekurangan bahan mineral akan menghasilkan tubuh yang lemah
dan cenderung berpenyakit.
Dengan itu, keperluan tubuh juga bergantung kepada bahan-bahan
seumpama pokok. Untuk menjadikan pokok itu segar dan berbuah,
ia memerlukan air dan baja yang mencukupi. Maka, cara terbaik
untuk memulihkan seorang manusia tentulah dengan mengembalikan
semula semua garam mineral yang diperlukan oleh darah dan
tubuh.
Artikel ini disesuaikan dan disusun semula untuk tujuan
penerbitan oleh konsultan HBI daripada kuliah-kuliah
“Biochemistry” yang ditulis oleh Dr. Burhanuddin demi
kepentingan dan arkib homeopati.