|
SEJARAH PERUBATAN
HOMOEOPATI
Mohamed Hatta Abu Bakar, 1997.
Perubatan Homoeopati – Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.
PENDAHULUAN
Homoeopati atau dalam bahasa
Inggerisnya “homoeopathy” berasal daripada dua perkataan, iaitu “homoios” dan
“pathos.” Homoios bermakna ‘serupa’ atau ‘seumpama’. Sementara pathos membawa
maksud ‘penderitaan’, ‘perasaan’ atau ‘penyakit’. Dengan itu, homoeopati merujuk
kepada cara “merawat penyakit atau pesakit menerusi prinsip serupa dengan yang
serupa.”
Dalam hal ini, ‘yang serupa’
merujuk kepada semboyan-semboyan atau simptoms. Apa yang dimaksudkan dengan
semboyan yang serupa di sini ialah sekiranya seseorang itu mengalami
semboyan-semboyan penyakit seperti loya dan muntah, maka ia akan dirawat secara
homoeopati dengan penawar yang mampu mengeluarkan semboyan-semboyan loya dan
muntah yang serupa. Itulah maksud daripada perkataan “homoeopathy” pada asasnya.
Dari segi sejarah, konsep dan
undang-undang fundamental homoeopati ini telah bermula sejak zaman Hippocrates,
iaitu pakar perubatan Greek yang hidup pada kurun ke 5 sebelum Masehi. Beliau
pernah menulis: “By similar things a disease is produced and through the
application of the like, it is cured.”
Yakni, menerusi benda yang serupa
sesuatu penyakit itu terjadi dan menerusi aplikasi yang serupa ianya
disembuhkan.
Konsep dan undang-undang fitrah
tersebut juga dimaklumi oleh Paracelsus, iaitu ahli perubatan German abad ke 16
Masehi. Namun Dr. Samuel Hahnemannlah orang yang pertama yang mengasaskan konsep
ini menjadi suatu sistem perubatan yang saintifik dan sebagai alternatif kepada
sistem ortodoks. Lantas beliau menamakan sistem itu “homoeopathy.”
SEJARAH PENGASAS DAN PERKEMBANGAN
HOMOEOPATI
Christian Friedrich Samuel, iaitu
nama sebenar yang diberikan kepada Dr. Samuel Hahnemann, merupakan seorang ahli
perubatan berbangsa German yang di lahirkan di Meissen, German Timur pada tahun
1755. Melalui bimbingan ayahnya, Christian Hahnemann, beliau membesar sebagai
seorang yang berdisiplin. Semasa menerima pendidikan tinggi di Meissen, beliau
dianggap seorang pelajar yang cerdas dan pintar. Kemudian pada tahun 1775,
beliau memasuki Universiti Leipzig untuk mempelajari ilmu perubatan.
Dua tahun kemudian, beliau
meninggalkan universiti tersebut dan menetap di Vienna dan Transylvania. Di sana
beliau mempelajari pelbagai bahasa sehingga beliau dapat menguasai bahasa Latin,
Arab, Greek, Inggeris, Perancis dan Sepanyol, selain daripada bahasa ibundanya.
Walaubagaimanapun, beliau
mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian perubatannya di Universiti
Erlangen di mana beliau telah dianugerahkan ijazah Doctor of Medicine pada 10
hb. Ogos 1779.
Dr. Hahnemann memulakan kariernya
sebagai pengamal perubatan di Hettstedt, iaitu sebuah perkampungan galian di
Saxony. Sewaktu di Hettstedt, beliau merasa sedih dan kesal kerana tidak dapat
memberi rawatan yang berkesan dan sempurna memandangkan keadaan hidup para
pelombong serta keluarga mereka yang sangat susah. Lagipun, amalan perubatan
pada waktu itu sangat mementingkan pembuangan penyakit dan pembedahan yang
terpaksa melalui proses yang memeritkan pesakit sekalipun pembedahan itu tidak
begitu perlu dan mendesak. Begitu juga, ubat-ubat berbahaya begitu mudah
diberikan kepada pesakit-pesakit yang didapati sukar untuk disembuhkan. Perkara
ini membuat Dr. Hahnemann bertambah yakin bahawa apa yang sebenarnya terjadi
ialah ‘lebih ramai manusia mati disebabkan rawatan berbanding kerana
penyakitnya.’
Sembilan bulan berikutnya, Dr.
Hahnemann berpindah ke Dessau dan bekerja di Mohren Pharmacy. Farmasi tersebut
dimiliki oleh seorang yang agak terkenal di kalangan masyarakat Dessau. Bersama
pemilik farmasi itu, Dr. Hahnemann melibatkan diri dalam penyelidikan kimia yang
kemudiannya menghasilkan Apothecaries Lexicon sebanyak 4 jilid. Di sini beliau
bertemu dan terpikat dengan anak tiri pemiliknya yang bernama Johanna Kuchler
yang berakhir dengan perkahwinan. Mereka kemudiannya dikurniakan seorang anak
perempuan yang diberi nama Henriette.
Semasa di Gommern, Dr. Hahnemann mula menceburi bidang penterjemahan untuk
menampung perbelanjaannya. Pada tahun 1784, beliau telah melahirkan esei
perubatan yang pertama bertajuk “Direction for Curing Old Diseases.” Di sini
beliau menyarankan tentang perlunya kesihatan awam, udara bersih, tidur yang
mencukupi, senaman rutin dan pemakanan yang seimbang. Beliau juga telah
mencadangkan agar rumah-rumah dijarakkan di antara satu sama lain supaya cahaya
matahari dan udara bersih dapat masuk dengan banyak.
Apabila beliau berpindah ke
Dresden, Dr. Hahnemann menyambung pelajarannya dalam ilmu kimia dan perubatan di
samping menterjemah pelbagai buku daripada bahasa Perancis, Inggeris, Latin dan
Greek ke bahasa German. Sewaktu proses penterjemahan dilakukan, beliau mengambil
kesempatan memberikan sedikit sebanyak komentar. Menerusi komen-komen beliau,
lebih terserlah lagi betapa luas pengetahuannya dalam bidang kimia dan betapa
berlainan pandangannya mengenai ahli farmasi sezamannya serta cara pemberian
ubat-ubatan.
Ketika beliau sekeluarga pindah ke
Leipzig pada tahun 1789, beliau merasakan amalan perubatan pada waktu itu
sebagai kasar, tidak bertamaddun dan kurang berkesan. Pandangan ini menimbulkan
kemarahan di pihak yang berada dalam profesion perubatan. Dengan itu, dalam
jangka masa lima tahun kemudiannya, keluarga Hahnemann senentiasa berpindah dari
satu tempat ke tempat yang lain.
Dalam saat-saat kesukaran inilah
sistem perubatan baru yang dikenali sebagai “homoeopathy” mula berputik. Semasa
Dr. Hahnemann menterjemah sebuah buku daripada bahasa Inggeris kepada bahasa
German yang ditulis oleh Dr. William Cullen berjodol “A Treaties on Materia
Medica,” beliau telah berdepan dengan sejenis ramuan - Cinchona (Peruvian Bark).
Cinchona tersebut pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan
Eropah. Ia juga dikatakan pernah diguna bagi menyembuhkan Countess of Cuichon,
iaitu isteri pembesar Peru.
Justeru didorong oleh perasaan
ingin tahu yang amat sangat, Dr. Hahnemann telah mencuba beberapa dos `Cinchona’
dengan tujuan untuk menguji kesan dan implikasinya. Setelah dicuba ramuan
tersebut, beberapa semboyan utama mula menjelma. Kaki dan hujung jarinya
bertukar menjadi sejuk, rasa mengantuk datang secara tiba-tiba, jantung dan
denyutan nadinya semakin kencang dan tubuh beliau pula mula menggeletar.
Kejadian ini berulang tiap kali dos `Cinchona’ diambil.
Takjub akan hasil eksperimen yang
tak disangka-sangka itu, terlintas di fikirannya akan satu undang-undang tabii
yang mungkin wujud. Undang-undang tersebut yang masyhur dengan nama
`Undang-undang Seraksi’ menggariskan bahawa suatu ramuan ubat itu boleh
menyembuhkan orang sakit disebabkan ia boleh menghasilkan semboyan-semboyan yang
serupa apabila ia diberikan kepada orang yang sihat. Namun di peringkat awalnya,
Dr. Hahnemann masih tidak begitu menghargai peri pentingnya penemuan tersebut.
Pada musim bunga tahun 1792,
beliau memegang jawatan sebagai pengurus di sebuah institusi penempatan orang
kurang akal. Di sana beliau membantah cara layanan yang buruk yang diberikan
kepada para pesakit. Sebaliknya, Dr. Hahnemann dengan jayanya telah menunjukkan
cara layanan yang sepatutnya diberikan sehingga ada pesakit yang sembuh di
tangan beliau.
Di samping itu, beliau masih
meneruskan usaha penulisan tanpa henti sehingga tahun 1805. Dalam waktu yang
sama, pada tahun 1796, beliau telah menulis sebuah essei, “New Principles for
Ascertaining the Curative Powers of Drug,” yang diterbitkan di dalam Hufeland’s
Medical Journal. Tahun inilah yang dikatakan sebagai tarikh lahirnya sistem
perubatan homoeopati secara rasmi di mana kemudiannya Hahnemann kembali
mengamalkan praktik perubatan di Leipzig, tetapi mengikut cara homoeopati.
Satu tragedi melanda Leipzig pada
tahun 1799, iaitu merebaknya wabak demam scarlet. Dalam pada itu Dr. Hahnemann
mendapati Belladonna sangat seraksi dengan semboyan demam scarlet. Beliau dengan
penuh yakin memberikan penawar Belladonna kepada kanak-kanak di Leipzig dalam
dos yang diperkecilkan dan ternyata ramai yang terselamat daripada demam
scarlet. Sungguhpun saranan Dr. Hahnemann tentang penawar Belladonna dan
pemberiannya dalam dos yang kecil menerima tentangan ramai, tetapi pada tahun
1838 kemudiannya kerajaan Saxon mengiktiraf Belladonna sebagai penawar bagi
demam scarlet.
Dalam tahun 1810, karya Dr.
Hahnemann yang terunggul, “Organon of Rational Medicine” diterbitkan. Tajuk buku
tersebut kemudiannya diperbaharui dengan nama “Organon of the Healing Art.” Buku
ini mengandungi rumusan-rumusan homoeopati sebagai kaedah yang rasional dan
menjelaskan ayat demi ayat prinsip-prinsip seni kesembuhan yang ma’kul. Beliau
menekankan bahawa kandungannya adalah hasil-hasil daripada pengalaman dan
ujikaji yang hanya dirujuk kepada pengalaman dan ujikaji yang dilakukan, dan
oleh itu kebenarannya hanya boleh ditolak oleh pengalaman yang berlawanan dan
ujikaji juga.
Di dalam Organon inilah Dr.
Hahnemann mengembangkan prinsip asas homoeopati kepada “SIMILIA SIMILIBUS
CURENTUR” - atau “Let likes be cured with likes.” Di mana di dalamnya beliau
juga telah memberikan definisi kesembuhan sebenar, iaitu:
“Setinggi-tinggi hemah dan tugas
doktor itu ialah mengembalikan pesakit kepada sihat sebagaimana yang di
kehendaki. Setinggi-tinggi hemah doktor itu ialah mengembalikan kesihatan dengan
jalan yang cepat, lemah-lembut dan berkekalan, atau menyembuhkan penyakit secara
keseluruhannya dalam jangka masa yang pendek, dapat dipertanggungjawab serta
paling tidak merbahaya menurut kaedah yang ma’kul.”
Sementara teras sains yang
dianjurkan oleh Dr. Hahnemann dalam seni kesembuhan adalah terdiri daripada
Undang-undang seraksi, pilihan dos minimum yang sesuai dan ulangan dos.
Kini Organon diiktiraf sebagai
bahan rujukan utama dalam pengamalan homoeopati seluruh dunia. Ia telah
berkali-kali diulang-cetak dan telah diterjemahkan ke dalam sepuluh bahasa
termasuk bahasa Perancis, Hungary, Swedish, Rusia, Itali dan Sepanyol.
Terjemahan dalam bahasa Inggeris telahpun mula didapati pada tahun 1833.
Dalam masa beberapa tahun,
Hahnemann mengumpulkan beberapa orang doktor dan sahabat handai yang kejujuran
dan kesihatan mereka boleh dipercayai dalam sebuah kesatuan. Kesatuan itu
dikenali sebagai ‘the Provers Union.’ Ahli-ahli kesatuan ini kemudiannya
mengambil risiko menguji khasiat penawar-penawar dari bahan kimia, akar kayu dan
garam galian.
Mereka dipertanggung-jawabkan
mencatat kesemua semboyan-semboyan yang timbul daripada “proving.” Antara
penawar-penawar yang diujibuktikan termasuklah Aconite, Arnica, Belladonna,
Ipecacuanha, Nux Vomica, Drosera dan Chamomilla. Kesemua hasil usaha ini telah
dikeluarkan di dalam “Materia Medica Pura” yang pertama kali diterbitkan di
Dresden pada tahun 1811. Buku tersebut siap keseluruhannya dalam enam jilid pada
tahun 1821.
Di samping membicarakan tentang
penawar-penawar homoeopati dan aplikasinya dalam merawat penyakit, beliau
memberi penjelasan yang panjang lebar tentang pendekatan personal dalam rawatan
homoeopati. Beliau juga untuk kesekian kalinya, sekali lagi menekankan tentang
kesembuhan kekal yang hanya boleh didapati menerusi ‘penawar homoeopati dalam
dos yang kecil’.
Malangnya penggunaan dos kecil ini
telah membangkitkan kemarahan pembancuh-pembancuh ubat yang mengalami kerugian
besar sejak ia diketengahkan. The Liepzig Guild telah bersepakat untuk
memerangkap Dr. Hahnemann. Satu undang-undang Constitutiones Frederici II
Imperatoris diluluskan bagi tujuan menghadkan kerja-kerja membancuh ubat khusus
untuk orang-orang tertentu sahaja.
Yakni, ia hanya boleh dilakukan
oleh pembancuh-pembancuh ubat sahaja dan dengan itu para doktor dilarang
daripada memberi ubat secara langsung kepada pesakit.
Dr. Hahnemann mendapati adalah
mustahil bagi beliau untuk mematuhi undang-undang yang baru diluluskan itu
kerana para pembancuh ubat sudah pasti akan membancuh dalam dos yang besar.
Tindakan Dr. Hahnemann untuk tidak mematuhi undang-undang tersebut menyebabkan
The Liepzig Guild mengemukakan aduan kepada Majlis Perbandaran. Lantas beliau
dihadapkan ke mahkamah atas sebab melanggar undang-undang negeri.
Tekanan ke atas amalan homoeopati
berlanjutan beberapa tahun. Banyak artikel yang memperkecilkan homoeopati
disiarkan di dada akhbar dan di dalam jurnal perubatan. Agak ramai juga
doktor-doktor homoeopati ditekan dan didakwa. Umpamanya, Dr. Karl Franz telah
dipaksa agar bersara dan Dr. Christian Hornburg didakwa dan dipenjara sehingga
beliau meninggal dunia tiga hari kemudiannya.
Bahkan akhirnya Dr. Hahnemann
sendiri meninggalkan Leipzig menuju Kothen.
Meskipun Dr. Hahnemann tidak gemar
tinggal di Kothen, namun Duke Ferdinand telah membenarkan beliau mengamal
homoeopati. Malahan Duke sendiri menjadi pesakit beliau. Cita-citanya berjaya
dan amalan perubatannya semakin maju. Perkembangan terbaru ini terus tersebar
dan ramai daripada sahabatnya yang telah mula mengamal homoeopati saling berutus
surat dengan beliau untuk bertukar pendapat. Pada waktu itu, usia Dr. Hahnemann
telah menjangkau 66 tahun.
Sebuah lagi buku utama yang
dikarang oleh Dr. Hahnemann ialah “The Chronic Diseases, Their Peculiar Nature
and Their Homoeopathic Cure.” Jilid pertama buku tersebut mengembangkan
idea-idea mengenai prinsip-prinsip dan amalan homoeopati serta pendekatan
holistiknya. Sementara jilid kedua menceritakan tentang kuasa hayat sebagai
kuasa penyembuhan tubuh manusia. Dalam penekanannya tentang kuasa hayat, beliau
telah memperkenalkan aspek-aspek metafizik homoeopati dan lantas memperkenalkan
teori “psora” yang berkaitan dengan pembawaan penyakit dari satu generasi kepada
generasi yang lain.
Beberapa tahun kemudian isterinya
Johanna meninggal dunia dan Dr. Hahnemann sudah hampir pada detik-detik
persaraan daripada mengamal homeopati. Hidupnya mekar semula dengan kehadiran
Melanie D’Hervilly yang datang untuk mendapatkan rawatan homoeopati daripada
beliau. Pada waktu itu, beliau sudah begitu terkenal sebagai orang yang mengasas
homoeopati.
Pada Januari 1835, Dr. Hahnemann
mengahwini Melanie yang pada waktu itu berusia dalam lingkungan 30 tahun.
Sedangkan usia Dr. Hahnemann di waktu itu sudah hampir 50 tahun lebih tua
daripadanya.
Hanya kira-kira tiga bulan sebelum
beliau menyambut hari jadinya yang ke 80, Dr. Hahnemann telah dipilih sebagai
“Honorary Member of the North American Academy of Homoeopathy” berpusat di
Allentown, Pennsylvania. Ia merupakan kolej homoeopati yang pertama didirikan di
Amerika Syarikat oleh Dr. Constantine Hering, iaitu salah seorang daripada
sahabatnya yang sama-sama berjuang menegakkan sistem perubatan homoeopati.
Kejayaan rawatan beliau yang
ditambah dengan dorongan dan promosi daripada isterinya sendiri menyebabkan
amalan homoeopatinya terkenal sekali sampai ke England, Peranchis, Eropah dan ke
seluruh dunia. Sementara penentangan daripada kalangan doktor allopati menurun
dengan mendadak pada awal 1840an. Dan akhirnya, pada 2hb Julai 1843 Dr.
Hahnemann telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau pergi
setelah bergelut dengan pelbagai tragedi dalam memperjuangkan perubahan dan
mengembangkan sistem perubatan homoeopati.
KEMEROSOTAN HOMOEOPATI
Perkembangan homoeopati mulai
mengalami zaman kemelesetan selepas kematian beliau berikutan penemuan-penemuan
baru dalam ilmu perubatan konvensional. Meskipun kemajuan sistem perubatan
konvensional tidak memperlihatkan sebarang pertentangan dengan konsep-konsep
homoeopati, tetapi sikap cemburu pakar perubatan terhadap homoeopati berterusan
menghimpit kedudukannya di mata masyarakat.
Inilah yang mengakibatkan kejayaan
homoeopati dalam merawat pesakit kolera pada tahun 1854, seperti yang dilaporkan
oleh Margery Blackie, telah tidak mendapat perhatian dan disembunyikan dalam
laporan yang dibuat oleh British Medical Council. Hanya apabila perkara tersebut
dibawa ke parlimen, barulah didedahkan bahawa kadar kematian bagi kes kolera di
hospital homoeopati London hanyalah 16.4 peratus berbanding 51.8 peratus di
hospital-hospital lain. Namun begitu, sikap cemburu dan prejudis terhadap
homoeopati tidak dapat diredakan.
Dalam keadaan demikian, homoeopati
masih tumbuh dan melata ke segenap penjuru dunia. Bukan saja ia berjaya meneroka
negara-negara di Eropah, England dan Amerika Syarikat, malah berkembang ke
negara-negara di Amerika Selatan, benua Afrika, Australia, New Zealand, Rusia
dan ke Asia seperti Pakistan, India, Sri Lanka dan Malaysia.
PERKEMBANGAN HOMOEOPATI DI
MALAYSIA
Di Malaysia, sistem perubatan
homeopati diasaskan oleh seorang tokoh yang amat berjasa kepada tanah air iaitu
Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969). Seorang yang bergiat cergas dalam
organisasi politik dan agama, salah seorang pengasas Partai Kebangsaan Melayu
Malaya (PKMM) dan pernah menjawat jawatan presiden Partai Islam Se Malaysia
(PAS).
Homoeopati dibawa masuk dan
diperkenalkan di tanah Melayu oleh Dr. Burhanuddin apabila beliau pulang ke
Malaya pada tahun 1929. Beliau merupakan graduan daripada Ismaeliah Medical
College, New Delhi.
Berdasarkan keterangannya,
homoeopati begitu berjasa kepadanya kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit
lelah yang dialaminya. Selanjutnya, pada tahun 1937 hingga tahun 1942, beliau
bersama Prof. Dr. Rajah membuka Gedung Homoeopati di Singapura dan Johor Bharu.
Usaha ini terhenti apabila beliau sibuk menguruskan soal-soal agama dan tanah
air. Malah beliau pernah ditahan selepas tragedi NATRAH di Pulau Sekijang, untuk
tempoh Ogos 1951 - Sept. 1952.
Pada akhir tahun 1952, beliau mula
kembali mengamal dan menggunakan penawar homoeopati dengan memberikan banyak
pertolongan kepada keluarga dan sahabat handai. Kemudiannya, dalam pertemuan
dengan beberapa orang pemuda, beliau mencadangkan supaya ilmu perubatan
homoeopati dipelajari dan dikembangkan sehingga menjadi perubatan nasional bagi
negara Malaysia Merdeka.
Berdasarkan tulisan Prof. Dr. Mohd
Nor, selepas lebih enam bulan, barulah dapat dikumpulkan seramai dua belas orang
penuntut. Pada 15 hb. Dis. 1953, Dr. Burhanuddin telah menulis surat kepada
Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran Singapura untuk mengajar dan
mempraktik homoeopati..
Dalam surat jawapan terhadap
permohonan itu, disebutkan bahawa amalan mempraktik homoeopati tidak diiktiraf
dan kerana itu lesen mempraktik tidak perlu dikeluarkan. Kebenaran bagi kuliah
rasmi perubatan homoeopati diterima, tetapi pengamal homoeopati tidak boleh
didaftarkan sebagai Medical Practitioners mengikut Medical Registration
Ordinance dan tidak boleh dipanggil “Doktor.”
Walaupun tanpa pengiktirafan -
dengan kebenaran itu, tahun 1953/1954 dianggap tahun yang bersejarah dalam tinta
tanah air. Pada tahun tersebut, lahir sebuah institusi atau pusat pengajian
homoeopati yang pertama secara informal di rumah Dr. Burhanuddin sendiri iaitu
Kampung Pachitan, Singapura. Antara 12 orang pemuda perintis yang mengikuti
kuliah itu termasuklah Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin, Dr. Hj. Dali b. Hj. Muin,
Dr. Mohammed Hj. Yaakub dan Dr. Abd. Rahman Hj. Hashim.
Teks yang digunakan dalam kuliah
bagi generasi pengasas pada waktu itu terdiri daripada: The Organon of Medicine
(Hahnemann); Materia Medica (Nash, Kent, Chauldry); Philosophy (Kent); The
Chronic Diseases (Hahnemann); Muqaddimah (Ibnu Khaldun) dan termasuk juga kitab
Hadis Arbain.
Asas sumpah Hippocrates yang
masyhur telah dijadikan asas “Janji Setia”. Justeru itu, setiap pelajar
perubatan homoeopati: harus menganggap Gurunya sebagai Bapa dan anak mereka
sebagai saudara kandung, sanggup memandang sesama sendiri sebagai keluarga;
berjanji tidak memberi “Drug” yang membahayakan serta membunuh kepada
pesakitnya; berjanji tidak memberi ubat bagi menggugurkan Janin dalam kandungan;
menjaga kehormatan seni rawatan dengan penghormatan yang tinggi; dan sentiasa
sedia memberi khidmat di mana sahaja ia berada.
Meskipun ilmu perubatan homoeopati
tersangat baru dan pelbagai anggapan negatif dihadapi, tetapi beliau menjelaskan
betapa pentingnya menyemaikan ilmu kepada anak bangsa terutama ilmu berkaitan
dengan kesihatan sebagai melengkapkan pengisian kemerdekaan suatu bangsa.
Justeru itu, dalam ucapan pembukaan kuliah sulungnya, beliau menyatakan:
“....... saya berpendapat, ilmu
kedoktoran homoeopati ini adalah satu milik bangsa (national asset) yang dapat
saya sembahkan menjadi pusaka kekal buat negara yang merdeka kelak.”
“Selain dari itu yang menjadi
pilihan saya kepada homoeopati ialah kerana pengalaman saya mengidap penyakit
lelah di mana puas saya berubat dengan ubat-ubat lain tetapi tidak mahu sembuh.
Tetapi setelah saya mencuba ubat homoeopati, maka idapan saya yang selama ini
tidak baik-baik, telahpun pulih.”
“Oleh itu, saudara-saudara
perintis adalah merupakan angkatan yang menjadi harapan bangsa di masa akan
datang. Apa lagi ilmu kedoktoran ini adalah satu cabang ilmu mengikut aliran
tabii semula jadi. Oleh itu ia merupakan suatu sistem yang sejajar dengan
kehendak nature.”
Kuliah-kuliah bergerak cergas di
pusat Malaysia Health Centre (MHC) di 107, Jalan Sultan Singapura. Pada tahun
1957 terdiri pulalah Dewan Kesihatan Melayu di Singapura dan Dewan Tata Hidup di
Kuala Lumpur.
Semangat memperkembangkan
homoeopati semakin mendapat perangsang apabila Dr. Corea datang melawat Malaya
secara rasmi dengan tugas Congress Perubatan Homoeopathy Sedunia pada masa
Malaya Merdeka. Dr. Edward Mac. Heyzer yang pernah bertugas sebagai doktor dan
surgeon tentera dalam angkatan tentera British semasa perang Jepun turut aktif
membantu memperluas dan memperkenalkan homoeopati di hospital dan golongan
terpelajar. Beberapa orang India yang mempelajari homoeopati juga membantu
dengan bertindak secara layman physician dalam memberi rawatan atau membuka
kedai-kedai ubat homoeopati.
Pada tahun 1960, berkumpul pula
para pendokong dan perintis homoeopati di Kuala Lumpur untuk memikirkan nasib
dan matlamat sistem perubatan homoeopati serta menggariskan perjuangan untuk
dekad-dekad akan datang. Berkat azam yang kuat dan sama semuafakat, maka
tertubuhlah sebuah persatuan homoeopati yang pertama di Malaysia yang dikenali
dengan nama “Persatuan Homoeopathy Malaya” (Homoeopathic Society of Malaya).
Persatuan Homoeopathy Malaya didaftarkan secara rasmi pada tahun 1961 di mana
Presiden pertamanya ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri.
Setiausaha agungnya, Dr. Mohammad
bin Hanif dan Bendahari agungnya ialah Dr. Yaakob Ibrahim. Ahli-ahli
jawatankuasa yang lain termasuk Dr. Rahmat b. Ma’dom, Dr. Rashad Shamsuddin, Dr.
Abd. Rahman Hashim, Dr. Bahrom Shah dan Dr. Ismail b. Muhammad. Ibu pejabat
persatuan di waktu itu ialah di 38-B Jalan Hale (Raja Abdullah) Kuala Lumpur.
Di dalam ucapan semasa merasmikan
persatuan ini, Prof. Dr. Burhanuddin menggariskan tujuan dan matlamat persatuan
sebagai:
-
Mendirikan dan memajukan
perubatan homoeopati dan lain-lain cara tabii.
-
Menggalak dan meninggikan
kesihatan, kewarasan, kecerdasan rohani dan jasmani.
-
Mengadakan kemudahan bertukar
fikiran dan pengetahuan antara ahli dan orang ramai dengan mengadakan ceramah
dan lain cara yang halal.
-
Memajukan kepentingan bersama,
meninggikan akhlak dan pelajaran.
-
Menanam semangat dan kemahuan
untuk memajukan diri sendiri dan mengajarkan kepada ahli akan
kegiatan-kegiatan homoeopati.
Persatuan yang ulung ini membuka
keahliannya kepada tiga jenis keahlian ialitu: ahli penuh, ahli bersekutu dan
ahli penyokong di mana hanya orang yang mempunyai kelayakan sahaja diterima
sebagai ahli penuh. Bersama dengan itu juga, Dr. Burhanuddin menganjurkan agar
pusat-pusat rawatan homoeopati ditubuhkan. Di samping memberi rawatan,
pusat-pusat ini juga boleh menjadi tempat-tempat latihan kepada pelajar-pelajar
homoeopati.
Jasa Dr. Burhanuddin seterusnya
ialah menyuarakan isu-isu homoeopati beberapa kali di Parlimen semasa beliau
menjadi ahli parlimen bagi tahun 1959-1964. Suaranya yang lantang membolehkan
aktiviti mengembangkan ilmu perubatan homoeopati bergerak ke seluruh negara.
Kemudian dalam mengembangkan homoeopati seterusnya beliau berusaha mengumpulkan
pelajar-pelajar yang setia untuk mengikuti kuliah homoeopati di Ehya Assharif
Gunung Semanggol, Perak.
Tidak banyak tulisan-tulisan yang
memperincikan kegiatan pengembangan ilmu perubatan homoeopati yang dilaksanakan
oleh beliau di tahun-tahun berikutnya. Akhirnya, pada 25 hb. Oktober 1969, Dr.
Burhanuddin pulang ke rahmatuLlah setelah berjaya menaburkan banyak jasa-jasa
kepada masyarakat, orang Melayu, Islam, politik tanah air dan tidak ketinggalan
mewariskan homoeopati. Justeru banyaknya jasa-jasa beliau seperti yang
disebut-sebut dalam sejarah tanah air sebelum dan selepas merdeka, maka beliau
masih dikenang hingga ke hari ini.
Pemergian Allahyarham Dr.
Burhanuddin memang sukar dicari ganti. Tetapi demi untuk menerajui persatuan
yang masih muda ini, kepimpinan persatuan diberikan kepada timbalannya iaitu
Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin. Pergerakan homoeopati dikatakan bergerak lebih
aktif lagi selepas itu dengan menambah bilangan peminat dan penyokongnya. Pada
tahun 1979, persatuan ini diubah namanya kepada Persatuan Perubatan Homoeopathy
Malaysia (Malaysia Homoeopathy Medical Association) atau ringkasnya PPHM.
Di bawah pimpinan Dr. Mohd. Nor,
persatuan ini semakin giat aktivitinya dengan menganjurkan ceramah, seminar dan
memberi kuliah. Ini terutamanya apabila pusat-pusat rawatan homoeopati mula
tumbuh dengan pesatnya di Kuala Terengganu, Guar Chempedak (Kedah), Parit
Buntar, Krian (Perak), Muar (Johor), Jasin (Melaka), Sungai Besar, Klang,
Sekinchan (Selangor), Kota Bharu dan lelain tempat lagi di mana khidmatnya
mendapat sambutan.
Pada tahun 1980an, persatuan ini
juga mula mendapat sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan banyak
seminar-seminar yang diadakan turut dinaungi oleh tokoh-tokoh politik. Dengan
pertolongan pengamal-pengamal seperti Dr. Dali, Dr. Abd. Ghani, Dr. Nik Omar,
Dr. Teo, Dr. Ghulam Rasool dan ahli jawatankuasa PPHM 1970-1984, diberitakan
bahawa homoeopati berjaya dikembangkan di universiti-universiti, terutama di
UTM.
Perkembangan di akhir-akhir ini
menunjukkan satu demi satu pertubuhan homoeopati diwujudkan samada ia mendapat
asas daripada PPHM ataupun tidak. Antaranya ialah persatuan Dr. Mohamad Hj.
Yaakob yang menubuhkan Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia
(PPHBM) yang beribu pejabat di Johor Bahru, Persatuan Pengamal-pengamal
Perubatan Homeopati Berdaftar Malaysia (MRHP) di bawah Dr. Nik Omar dan
Persatuan Pengamal Perubatan Homoeopati Malaysia (PPPHM) yang berpusat di Alor
Star, Kedah.
Bagaimanapun, kata sepakat dicapai
antara PPHM dan PPHBM untuk menyelaraskan daya usaha dan tenaga serta menyambung
amanah al-Marhum Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dengan bergabungnya kedua-dua
kesatuan itu menubuhkan Majlis Homoeopati Kebangsaan Malaysia pada 11 April
1993. Dengan itu ahli-ahli kesatuan yang bergabung itu dapat bekerjasama
mempertahankan homoeopati tulen mengikut fahaman mereka.
Namun begitu, peranan MRHP turut
menonjol dari segi perkembangan homoeopati di mata masyarakat mutakhir ini
justeru aktivitinya yang bersifat komersil selain aktiviti biasa memberi kursus
dan ceramah seperti PPHM. Banyak barangan atau hasil keluaran homoeopati dari
kesatuan tersebut mendapat tempat di hati masyarakat. Ini termasuk juga aktiviti
dan usaha MRHP membantu masyarakat Selatan Thai sewaktu mengalami banjir dan
mangsa peperangan saudara di Afghanistan.
Sementara penerokaan kursus jarak
jauh dan penerbitan majalah “Utusan Kesihatan” untuk tatapan umum oleh PPPHM
turut membantu mengembangkan homoeopati dengan lebih meluas. Meskipun PPHM yang
bersikap tradisional mengkritik dan enggan mengiktiraf kursus seumpama itu,
namun ia turut berperanan membantu memperluaskan ilmu perubatan homoeopati di
mata masyarakat. Dalam hal ini, perlantikan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan
Kedah sebagai penaung PPPHM mungkin membantu persatuan tersebut dalam
kelangsungannya.
Selain itu, terdapat
aktiviti-aktiviti pengembangan homoeopati yang dijalankan secara bersendirian.
Ini berlaku menerusi pembukaan pusat-pusat rawatan, pengeluaran produk baru
homoeopati, jualan langsung (direct selling), penerbitan majalah/makalah dan
seumpamanya. Walaupun aktiviti-aktiviti secara bersendirian tidak digemari oleh
persatuan dan mungkin menimbulkan natijah sampingan, sedikit sebanyak ia telah
membantu menyebarkan ilmu perubatan tersebut. Malah tidak sedikit aktiviti
secara individu turut mendapat tempat di media dan majalah.
Bagaimanapun, perkembangan yang
menarik dalam sejarah homoeopati di Malaysia dan yang membezakan ia dengan
sejarah perkembangan homoeopati awalan dan di negara-negara lain ialah mengenai
usaha murid-murid Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam memperkaitkan antara
perubatan homoeopati dengan Islam. Antara bukti-bukti yang sering diperjelaskan
oleh mereka termasuklah prinsip similimum yang dikiaskan kepada hadis Rasulullah
s.a.w. mengenai jatuhnya lalat ke dalam minuman (yang diriwayatkan oleh Bukhari
dan Abu Daud), keseimbangan vital force sebagai pancaran ruh dan nama-nama
penawar homoeopati yang digunakan yang mana sebahagiannya ada tersebut di dalam
al-Qur’an.
KESIMPULAN
Menyorot kembali sejarah
bermulanya homoeopati sejak zaman penemuannya sehingga ia berkembang ke pelbagai
negara, jelaslah bahawa zaman yang dilalui oleh Dr. Samuel Hahnemann merupakan
zaman yang sangat sukar dan penuh tribulasi. Sekiranya dicoret sejarah
perkembangan homoeopati di England, Amerika Syarikat, India, Pakistan, Australia
atau mana-mana tempat di dunia, kehebatan dan cabarannya tidak sama dan jauh
lebih kecil.
Di sesetengah negara seperti di
England, homoeopati berkembang justeru hubungannya dengan pihak atasan atau
istana. Ia juga lebih cenderung mendapat tempat di hati masyarakat apabila
praktiknya dilakukan oleh pengamal yang mempunyai latar belakang kedoktoran
konvensional dan merawat secara homoeopati justeru kepakarannya di dalam kedua
bidang tersebut.
Perkembangan mutakhir yang
memberangsangkan bermula sejak akhir 1970an apabila orang ramai mulai sedar
tentang kesan-kesan sampingan dan unsur-unsur ketagihan (addictive) penggunaan
ubat-ubat moden. Malah terdapat ubat-ubat yang pernah digunakan telah
dikurangkan atau dihentikan pengeluarannya sama-sekali. Selain itu, masyarakat
juga mulai sedar mengenai keterbatasan sistem rawatan allopati yang tidak mampu
mengubati semua jenis penyakit. Contoh yang paling jelas dapat dilihat dalam kes
kegagalan merawat sesetengah jenis kanser dan AIDS.
Ada juga yang beralih kepada
rawatan homoeopati justeru ianya dianggap lebih selamat dan tidak mengandungi
sebarang bahan dadah. Rawatannya pula boleh didapati dengan bayaran yang secara
relatifnya lebih murah. Akhir sekali, kita juga dapat saksikan bagaimana
bertambahnya kesedaran di kalangan masyarakat tentang senaman, pemakanan, cara
hidup sihat di samping kecenderungan masyarakat hari ini kepada rawatan secara
holistik.
Semua ini membantu ke arah
penerimaan semula masyarakat terhadap homoeopati.
|